3 NOV: Belum pun sampai 10 minit bersidang, suasana Dewan Rakyat gamat dengan isu beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang bangkit mempersoalkan isu beberapa kakitangan Dewan Negara dan polis bantuan bertugas di Parlimen dikatakan disahkan positif COVID-19.
Perkara itu menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun terpaksa mengawal keadaan dan memberi penjelasan lanjut kepada Ahli Parlimen mengenai kedudukan sebenar kes berkenaan.
Terdahulu, Ahli Parlimen PH Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, bangun meminta petua daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai kenyataan dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan, semalam yang mendedahkan ada beberapa kakitangan Parlimen termasuk polis bantuan dan pegawai khas seorang Senator yang disahkan positif COVID-19.
“Saya difahamkan semua kakitangan Parlimen sudah membuat ujian saringan COVID-19 pada 28 Oktober lalu, namun sehingga 30 Oktober mereka masih berlegar, bertemu antara satu sama dan berselisih dengan Yang Dipertua sendiri.
“Petang semalam pula Ketua Pengarah Kesihatan dalam sidang media hariannya mengesahkan bahawa ada polis bantuan bertugas di Parlimen disahkan positif COVID 19. Mereka mungkin menjalani ujian saringan COVID-19 pada 28 Oktober, namun 29 dan 30 Oktober mereka berlegar di sini.
“Walaupun ada sanitasi dilakukan di Parlimen, namun sebagai manusia kita sentiasa bernafas dan berhubung. Jadi saya agak bimbang dalam suasana keadaan begini.
“Pertama apakah benar empat orang kakitangan Dewan Negara dan polis bantuan bertugas di Parlimen disahkan positif COVID-19,” katanya sebelum sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bermula.
Berikutan itu, Azhar menjelaskan laporan kononnya ada polis bantuan bertugas di Parlimen positif COVID-19 adalah tidak benar kerana kes berkenaan berlaku di tempat lain.
“Sebenarnya polis bantuan yang dikatakan positif COVID-19 berkenaan adalah bukan ditempat kita (Parlimen) tetapi ditempat lain. Jadi maklumat berkenaan satu kesilapan,” katanya.
Walau bagaimanapun, Mahfuz tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan Azhar itu.
“Saya difahamkan polis bantuan berkenaan bertugas di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Jika betul di JPM maka Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri di JPM kenapa mereka dibenarkan hadir di sini?” katanya.
Azhar kemudian menjelaskan polis bantuan berkenaan tiada kena mengena dengan Pejabat Perdana Menteri, Menteri atau Timbalan Menteri di JPM.
“Saya difahamkan mereka bertugas di tempat lain bukan di Pejabat Perdana Menteri atau di JPM. Keduanya saya ingin menjelaskan sebenarnya bukan kakitangan Dewan Negara yang disahkan positif COVID-19 tetapi kakitangan seorang Senator.
“Staf Senator Dewan Negara berkenaan disahkan positif selepas datang ke Parlimen untuk menjalani ujian saringan COVID-19 pada 28 Oktober lalu kerana mungkin Senator berkenaan mahu menghadiri perbentangan Belanjawan 2021, pada Jumaat ini.
“Bagaimanapun, mereka tidak datang dan berlegar di Parlimen pada hari sebelumnya,” katanya.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan, Ahli Parlimen PH Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar, bangun mencelah dan mencadangkan supaya semua Ahli Parlimen wajib menjalani ujian saringan sekurang-kurang dua minggu sekali.
Berikutan itu, Azhar menjelaskan pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi bagi memberikan penjelasan kepada semua pihak berhubung kekeliruan yang timbul.
“Saya sudah berbincangan dengan Ketua Pentadbir Parlimen pagi tadi dan kita bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan bagi memberikan penjelasan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bebas Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik turut bangun mencelah dan melahirkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan dirinya kerana beliau berkongsi bilik pejabat sama dengan pegawai Senator Dewan Negara disahkan politif COVID-19.
“Saya mahu tahu bilakanh pegawai berkenaan datang ke pejabat dan adakah tempat berkenaan disanitasikan,” katanya.
Jawapan Azhar amat mudah; “YB ada di sini maksudnya keputusan ujian saringan COVID-19 YB negatif. Bawa bertenang kita semua kena ikut prosedur operasi standard (SOP) dan jaga keselamatan diri masing-masing,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI