4 NOV: Sebanyak enam kluster baharu jangkitan COVID-19 dikesan di Sabah, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi Kluster Penjara Sandakan di Sabah, sebanyak 293 individu telah disaring setakat ini dan seramai 39 kes didapati positif COVID-19.
Menurut beliau, Kluster Dialisis di Sandakan dan Lahad Datu pula menyaksikan 19 daripada 49 individu yang disaring telah dikesan positif wabak tersebut.
“Kluster Sepanggar pula melibatkan Kota Kinabalu. Sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 95 individu telah disaring, di mana lapan kes dikesan positif COVID-19 dan enam daripadanya adalah kes baharu,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini.
Dr Noor Hisham memberitahu, Kluster Aero dikesan di Petaling, Selangor di mana 95 individu telah disaring dan 11 orang daripada mereka didapati positif dengan dua kes baharu.
Beliau menambah, Kluster Lengkuk dikesan di Sepang, Selangor serta Seremban, Port Dickson dan Rembau di Negeri Sembilan.
“Sejumlah 96 individu telah disaring di mana 11 kes dikesan positif COVID-19 dan dua daripadanya adalah kes baharu,” jelasnya.
Dr Noor Hisham berkata, Kluster Gading dikesan di Putrajaya dan Seremban di mana sebanyak 32 individu telah disaring dengan tujuh didapati positif termasuk tiga kes baharu.
Sementara itu, beliau mengumumkan dua kluster tamat hari ini iaitu Kluster Embun (Selangor) dan Kluster Bah Tanjung (Terengganu). – Oleh HUSSAINI AMRAN