4 NOV: Bagi mengekang penularan COVID-19 di bangunan Parlimen, jumlah kehadiran ahli-ahli Dewan Rakyat akan dihadkan kepada 80 orang dalam satu-satu masa.
Selain itu, waktu persidangan harian bermula 9 November juga akan dipendekkan bermula 10 pagi hingga 2 petang.
PN BBC Portal difahamkan, itu antara cadangan yang akan dilaksanakan bagi menyekat penularan COVID-19 di Parlimen .
Sekiranya cadangan itu dipersetujui, kuota yang diperuntukkan kepada blok Perikatan Nasional (PN)seramai 41 ahli parlimen manakala selebihnya untuk wakil pembangkang dan Bebas.
Jumlah kesuluruhan ahli Parlimen terkini adalah 221 orang manakala kerusi Parlimen Batu Sapi masih kosong.
Berdasarkan maklumat diterima, Pejabat Speaker akan mengeluarkan Pas Khas dan akan diedarkan kepada ahli parlimen melalui Ketua Whip parti masing masing.
Difahamkan, ahli-ahli Parlimen boleh mendaftar kehadiran dan kemudian beredar ke pejabat masing masing di Blok Pentadbiran dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Pergerakan ahli-ahli Parlimen di luar premis Parlimen juga akan dihadkan dengan mereka diminta mengelakkan menghadiri majlis-majlis keramaian dan tempat-tempat sesak.
Kaedah yang sama juga dipercayai akan diguna pakai semasa pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini.
PN BBC Portal turut difahamkan perbahasan Belanjawan 2021 akan dilanjutkan selama dua hari bermula 9 November sehingga 19 November (Khamis).
Manakala lapan hari akan diperuntukkan bagi perbahasan bajet.
Sesi penggulungan oleh menteri pula berlangsung selama tiga hari bermula 23 November.
Perbahasan Peringkat Jawatan Kuasa akan bermula 26 November sehingga pertengahan Disember.
Selain memendekkan waktu persidangan sehingga jam 2 petang sahaja mulai 9 November ini, kaedah sesi pertanyaan bagi jawap lisan juga dihadkan selama satu jam dari 10 pagi hingga 11 pagi.
Menteri akan menjawab soalan lisan dan tiada soalan tambahan dibenarkan.
Perubahan juga dibuat bagi sesi Waktu Pertanyaan Menteri setiap Selasa dan Khamis.
Difahamkan, cadangan dan perubahan ini akan dimaklumkan kepada ahli-ahli Parlimen dalam tempoh terdekat.
Pagi tadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membuat perisytiharan melibatkan beberapa perkara dalam usaha mengekang penulatran COVID-19 selepas mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Antaranya, semua ahli Parlimen diwajibkan melakukan ujian saringan setiap dua minggu sepanjang persidangan sesi ini.