4 NOV: Walaupun pembangkang Selangor telah menghantar permohonan untuk mendapatkan pertimbangan berhubung usul tatacara pemakaian baju kebangsaan, ia tetap ditolak dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, pihaknya telah menghantar notis pemberitahuan usul berkenaan kepada Yang Dipertua DUN Selangor, Ng Suee Lim semalam bagi meminta pertimbangannya berhubung tatacara pemakaian baju kebangsaan itu agar tidak hanya dikhususkan pada hari Jumaat sahaja.
Walau bagaimanapun, menurut beliau, pembangkang Selangor melahirkan kekecewaan apabila wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang tidak menyokong usul berkenaan sehingga menyebabkan ia ditolak.
“Usul ini telah ditolak apabila gagal mendapat sokongan satu pertiga atau 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
“Kami amat kecewa dengan tindakan ADUN kerajaan yang tidak menyokong bagi memartabatkan baju kebangsaan,” katanya dalam sidang media di lobi Bangunan Annex, Shah Alam, hari ini.
Isu berkenaan tatacara pemakaian di DUN Selangor menjadi kecoh apabila lima ADUN pembangkang mempertikaikan teguran Suee Lim berhubung kod pemakaian ketika sidang berlangsung Isnin lalu.
Suee Lim menyatakan, pemakaian baju kebangsaan hanya dibenarkan pada hari Jumaat dan pembangkang dilihat cuba meraih kepentingan politik berhubung perkara itu.
Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang berkenaan adalah Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong); Zakaria Hanafi (Semenyih); Datuk Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang); Rizam Ismail (Sungai Air Tawar) dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang).
Sementara itu, ADUN Sungai Panjang, Datuk Imran Tamrin memberitahu pembangkang kesal dengan penolakan usul berkenaan.
“Malah, lebih mengecewakan ia langsung tidak sempat untuk dibahaskan oleh setiap ADUN di negeri ini. Bagaimanapun, kami akur dengan arahan tersebut,” katanya.