4 NOV: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selamat menjalani pembedahan lutut di sebuah hospital pada petang Ahad lalu.
Setiausaha Politiknya, Muhyidin Abdul Rashid berkata, beliau telah dinasihatkan oleh doktor untuk mengurangkan pergerakan fizikal yang boleh memberi kesan pada proses penyembuhan yang dijangka selama sekurang-kurangnya enam minggu.
“Pembedahan ini dilakukan kerana kecederaan dalaman pada ligamen lutut akibat dari terseliuh kerana menahan badan dari jatuh semasa aktiviti riadah.
“Walau bagaimana pun, Dato’ Seri MB akan tetap berusaha untuk meneruskan urusan pentadbiran dan mesyuarat Kerajaan/Agensi/GLC; dan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri seperti biasa,” katanya dalam kenyataan media.
Sementara itu, Ahmad Samsuri mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhannya.
Beliau juga tetap menjalankan tugas seperti biasa walaupun masih berada di dalam hospital.