4 NOV: Kerajaan memandang serius kadar ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih tinggi setiap hari termasuk aktiviti pusat hiburan, tegas Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, hari ini sahaja sebanyak 382 individu diambil tindakan oleh polis kerana ingkar SOP PKPP yang menyaksikan 364 dikenakan kompaun manakala 18 individu direman.
Katanya, daripada jumlah itu, 136 diambil tindakan kerana tidak memakai pelitup muka diikuti gagal menyediakan rekod butiran pelanggan (66), gagal mematuhi pejarakan sosial (58), aktiviti pusat hiburan (42), gagal mematuhi waktu operasi (22) dan lain-lain kesalahan (58).
“Saya menyeru kepada semua pihak, selain penguatkuasaan, kita sendiri harus menjaga keselamatan diri dan keluarga dengan sentiasa mematuhi SOP serta mengamalkan kawalan kendiri pada setiap masa.
“Pada masa sama, Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja sama ada pemilik premis atau orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut Ismail Sabri, sebanyak 279 Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Benteng dilakukan di seluruh negara semalam melibatkan polis dan agensi-agensi lain.
“Semalam, Op Benteng telah berjaya menahan 16 PATI, 5 penyeludup dan 2 tekong serta berjaya merampas 10 kenderaan darat.
“Dalam hal ini, saya menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berhubung pendatang asing tanpa izin kepada pihak berkuasa,” jelasnya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 273 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM dan SKMM berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.
Katanya, daripada jumlah ini, sebanyak 136 masih dalam siasatan, manakala 35 kes telah didakwa di mahkamah, 21 didapati bersalah, 13 dalam proses perbicaraan dan 12 diberikan notis amaran.
“Tindakan penguatkuasaan aktif juga sedang dijalankan pada masa ini berdasarkan laporan awam yang diterima.
“Dalam masa yang sama sebanyak 404 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19.
“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya, dan sentiasa menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita daripada sumber yang rasmi atau boleh dipercayai,” ujarnya.