4 OKT: Semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan terus memberi sokongan tanpa berbelah bahagi terhadap Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan secara sebulat suara itu dinyatakan oleh kesemua 43 Ahli Parlimen BN termasuk anggota Kabinet dalam mesyuarat semalam.
Menurut beliau, sokongan turut diberikan untuk semua rang undang-undang yang akan dibentangkan oleh kerajaan.
“Ahli-ahli Parlimen BN juga bersetuju supaya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh moratorium untuk tempoh enam bulan atau sebahagian daripadanya untuk mereka yang berkelayakan di bawah kumpulan B40 dan M40,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut memohon Muhyiddin untuk mempertimbangkan kelulusan pengeluaran sejumlah wang daripada Akaun 1 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) bagi mereka yang layak dan memenuhi syarat tertentu.
Beliau juga telah mengutus surat kepada Perdana Menteri bagi menzahirkan perkara-perkara tersebut.