5 NOV: Kementerian Kerja Raya mempunyai 13 saluran untuk membolehkan orang awam menyalurkan aduan berhubung kerosakan jalan secara terus kepada pihak kementerian dan agensi berkaitan.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata setiap aduan akan disaring dan disalurkan kepada Agensi yang terlibat untuk siasatan dan tindakan.
Beliau berkata, kementerian melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) komited dalam memastikan semua jalan Persekutuan sentiasa dalam keadaan yang selamat dan selesa dengan melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan sepanjang tahun berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
“Bagi mengatasi aduan berkaitan jalan berlubang (pothole), kementerian ini telah mengaktifkan program Aku Janji Sifar Lubang peringkat Kebangsaan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikatsyarikat Konsesi Jalan Persekutuan. Di bawah program ini, kerja tampalan lubang perlu dilaksanakan dalam tempoh 24 jam setelah aduan diterima.
“Kerja penampalan lubang ini merupakan langkah awal pencegahan atau preventive bagi tujuan keselamatan pengguna jalan raya sebelum kerja-kerja turapan kekal dilaksanakan.
“Di samping itu, syarikat konsesi yang dilantik melalui perjanjian penswastaan di bawah skop kerja penyenggaraan rutin perlu melakukan rondaan pemeriksaan rutin jalan persekutuan dengan kekerapan dua kali seminggu,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat hari ini.
Fadillah menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim meminta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh pihak kementerian dalam mengendalikan aduan rakyat berkenaan kerosakan jalan raya dan kualiti pembaikan jalan raya oleh kontraktor yang mungkin menyebabkan kerosakan harta benda juga kehilangan nyawa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, faktor kenderaan berat yang melebihi had muatan dibenarkan, juga akan mempengaruhi dan mengurangkan tempoh jangka hayat sesebuah jalan terbabit.
Fadillah memberitahu kementerian juga sentiasa berusaha meningkatkan ciri-ciri keselamatan jalan raya di negara ini, khususnya melibatkan lokasi yang kerap berlaku kemalangan (Blackspot) di bawah program khas keselamatan jalan raya.
“Antara kaedah rawatan dan skop kerja di bawah program Blackspot ini ialah seperti mengecat semula garisan jalan, memasang pepaku jalan memasang lampu jalan pantulan, memasang papan tanda amaran, menyedia garisan jalan transverse bar dan memasang papan tanda peringatan kawasan kemalangan.
“Inisiatif-inisiatif di atas akan ditambah baik dari semasa ke semasa, supaya selari dengan misi Kementerian Kerja Raya, iaitu memastikan pembangunan infrastruktur dirancang, dilaksana dan disenggara dengan cekap dan berkualiti tinggi dalam usaha menyediakan kemudahan, keselesaan dan keselamatan kepada pengguna,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI