5 NOV: Sekurang-kurangnya 12 pekerja maut semalam apabila sebahagian daripada sebuah gudang bahan kimia runtuh, sebelum berlaku letupan yang kuat di barat India.
Memetik laporan AFP, jurucakap bomba berkata, antara yang terkorban adalah lima wanita, manakala sembilan lagi cedera dalam insiden di sebuah kompleks industri di pinggir Ahmedabad, di barat Gujarat.
“Jumlah kematian meningkat kepada 12 termasuk lima wanita. Sembilan cedera dan sedang menerima rawatan di hospital,” kata seorang pegawai bertugas di bilik kawalan kebakaran kepada AFP.
Saksi memberitahu pemberita bahawa letupan tersebut memusnahkan sebahagian dinding bangunan, termasuk satu kemudahan tekstil yang beroperasi dari kompleks berkenaan.
Ketua pegawai bomba Ahmedabad, M F Dastur memberitahu, siasatan awal mendapati letupan itu dicetuskan oleh api di sebuah stor bahan kimia dan menyebabkan bangunan berkenaan runtuh.
Sementara itu, Perdana Menteri, Narendra Modi memberi jaminan bahawa pihak berkuasa menyediakan segala bantuan yang mungkin kepada mereka yang terjejas.
“Kesal dengan kehilangan nyawa akibat kebakaran di sebuah gudang di Ahmedabad. Takziah kepada keluarga yang sedang berkabung,” katanya melalui Twitter.