5 NOV: Jabatan Peguam Negara sedang memuktamadkan laporan kajian pengasingan bagi memisahkan kuasa dan fungsi Pendakwa Raya daripada Pejabat Peguam Negara dalam memastikan kuasa pendakwaan yang lebih telus dalam sistem keadilan Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, laporan itu juga turut melaksanakan kajian teliti terhadap cadangan pindaan kepada perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan akan dibentang kepada Kabinet pada penghujung tahun ini.
Takiyuddin turut mempersoalkan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan yang dilihat seperti tidak mahu perkara ini diluluskan dengan alasan tidak mendapat sokongan majoriti daripada kerajaan PH sendiri.
“Bagi pihak kerajaan kini saya ingin menyatakan sememangnya berdasarkan perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, pindaan perlembagaan memerlukan 2/3 namun perkara baik ini tidak semestinya memerlukan 2/3 daripada pihak kerajaan sahaja.
“Sebagai contoh Yang Berhormat Muar ambil inisiatif cukup baik walaupun ketika itu PH tidak mempunyai 2/3 majoriti tetapi dengan libat urus pihak pembangkang ketika itu pindaan undi 18 tahun dapat diteruskan. Saya percaya dengan sokongan kawan-kawan di sana kita boleh pinda Perlembagaan ini,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PAN Shah Alam, Khalid Abd Samad tentang rancangan kerajaan untuk meminda Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan bagi memisahkan kuasa dan fungsi Pendakwa Raya daripada pejabat Peguam Negara bagi memastikan kuasa pendakwaan yang lebih telus dalam sistem keadilan Malaysia.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Khalid yang menyatakan adakah langkah ini serius bagi memastikan perkara ini dapat dilaksanakan disebabkan wujud tafsiran motif politk dapat dihentikan, Takiyuddin tidak menafikan perkara itu dan kerajaan sentiasa komited bagi memastikan ia terlaksana.
“Ini perkembangan terkini hari ini satu mesyuarat diadakan di antara Tan Sri (Idris Harun) Peguam Negara, Peguam Cara Negara dengan Peguam Cara Dua Negara dan Ketua Unit Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara untuk memuktamadkan memorendum Jemaah Menteri.
“Dan juga menyiapkan RUU pindaan atas perkara 145, maknanya kerajaan hari ini amat serius untuk melaksanakan perkara ini dan akan dibawa kepada Kabinet pada tahun ini juga,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH