5 NOV: Bilangan jemaah solat Jumaat dinaikkan hingga satu per tiga daripada kapasiti dewan sembahyang utama masjid dan surau Jumaat bagi Zon Hijau serta Zon Kuning COVID-19 di Wilayah Persekutuan, berkuat kuasa mulai esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata bagi solat fardu lima waktu di kawasan Zon Hijau dan Zon Kuning pula, kapasiti dibenarkan ialah tidak melebihi 30 jemaah dengan tertakluk kepada keluasan dewan sembahyang utama masjid dan surau bersama penjarakan satu meter antara jemaah.
“Namun bagi Wilayah Persekutuan Labuan yang kini berada dalam Zon Merah, beliau berkata, jumlah jemaah solat Jumaat dihadkan kepada 12 orang, manakala sembahyang fardu lima waktu pula tiga orang.
“Pada masa sama, aturan ini akan turut dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya jika wujud Zon Merah di kawasan terbabit dan keadaan sama berlaku,” katanya sidang khas mengenai garis panduan majlis akad nikah dan prosedur operasi standard (SOP) solat Jumaat yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata
Majlis akad nikah di Wilayah Persekutuan boleh dihadiri oleh tidak lebih 30 orang, berkuat kuasa mulai esok.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata perkara itu bagaimanapun mengambil kira penjarakan fizikal satu meter dan tertakluk kepada keluasan premis ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Beliau berkata, premis untuk majlis akad nikah meliputi pejabat agama dan masjid serta surau terpilih yang ditetapkan JAWI.
Selain itu, katanya, jurugambar dibenarkan dan tidak termasuk dalam jumlah 30 orang jemputan tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“SOP ini berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan mulai esok bersamaan 20 Rabi’al Awwal 1442H.
“Bagi negeri lain, ia adalah tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.
“Namun untuk tujuan penyelarasan, adalah disarankan negeri untuk mengikut resolusi telah dicapai bersama dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Khas (MKI) kali ke-9, baru-baru ini,” katanya.