5 NOV: Bagi mengurangkan perbezaan ketara antara gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan dengan negeri lain, kerajaan negeri itu bercadang menaikkan gaji pokok wakil rakyat sebanyak RM3,000 hingga RM5,000.
Perkara itu, dimaklumkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menjelaskan ia akan turut melibatkan gaji Exco.
Jelas Mohd Amar, kenaikan itu wajar untuk mengelakkan jurang gaji ADUN Kelantan dengan rakan sejawat di negeri lain tidak terlalu jauh.
Justeru, katanya, pada Persidangan Belanjawan Kelantan 2021 kali ini, kerajaan negeri dijangka membentangkan rang undang-undang meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Dewan Negeri 1980, bagi membolehkan kenaikan dan penyelarasan gaji itu diluluskan.
“Jadi, untuk merapatkan perbezaan ini tidak semestinya sama tetapi biarlah tidak ada perbezaan yang besar antara kita dengan negeri lain. Sebab itu ada cadangan supaya kita selaraskan.
“Ini berkaitan dengan keadaan semasa sebab tanggungjawab wakil rakyat semakin berat.
“Dalam keadaan pada hari ini, sekiranya ada kenaikan sekali pun, ia akan turut dinikmati oleh rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.
Kenyataan Mohd Amar itu bagaimanapun mendapat respons negatif beberapa pihak yang meminta kerajaan Kelantan tidak melakukannya dalam masa terdekat.
Antaranya, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang mahu kerajaan Kelantan membandingkan pula pendapatan negeri Kelantan dengan negeri lain.