5 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima lagi kluster baharu COVID-19 hari ini melibatkan dua di Sabah dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama ialah Kluster Sutera melibatkan daerah Kota Kinabalu.
Katanya, kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu-individu bergejala pada 2 November lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.
“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 13 lagi kes positif COVID-19. Sehingga 12 tengah hari, sejumlah 32 individu telah disaring, di mana 15 kes dikesan positif COVID-19 manakala 11 individu masih menunggu keputusan.
“Kluster kedua ialah Kluster Ria-30 di daerah Tuaran dan kes-kes bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan komuniti sejak 2 November. K
“Kesemua kes dalam kluster ini dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Intan di Sepanggar setakat tengah hari ini, sejumlah 254 individu telah disaring, di mana 11 kes dikesan positif manakala 122 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Tambah Noor Hisham, kluster ketiga ialah Kluster Tamar di daerah Petaling dan kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 1 November.
Katanya, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak sembilan lagi kes positif COVID-19 dan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
“Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 137 individu telah disaring, di mana 10 kes dikesan positif COVID-19
manakala 70 individu masih menunggu keputusan.
“Kluster keempat iala Kluster Intan melibatkan daerah Timur Laut di nPulau Pinang dan kes indeks bagi kluster ini yang merupakan seorang bukan warganegara telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan sebelum pulang ke negara asal pada 29 Oktober 2020.
“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak lapan lagi kes positif COVID-19 dengan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang. Sehingga 12 tengah hari, sejumlah 98 individu telah disaring, di mana sembilan kes dikesan positif manakala 54 individu masih menunggu keputusan,” ujarnya.
Jelas beliau, kluster kelima ialah Kluster Danau di daerah Titiwangsa, Kuala Lumpur dengan kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 27 Oktober.
“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak tujuh lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
“Sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 82 individu telah disaring, di mana lapan kes dikesan positif COVID-19 manakala 34 individu masih menunggu keputusan,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 112 kes atau 11.1 peratus daripada 1,009 kes baru yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster penjara dan Pusat Tahanan Sementara (PTS).
“Ini melibatkan Kluster Penjara Sandakan (73 kes), Kluster Seberang Perai (14 kes), Kluster Penjara Kepayan (12 kes), Kluster Penjara Reman (12 kes), dan Kluster Tembok (1 kes),” ujarnya.
Dalam pada itu, jelas beliau, sebanyak 32 kluster aktif melaporkan pertambahan kes hari ini dengan yang tertinggi kluster Penjara Sandakan melibatkan 73 kes diikuti Kluster Cergas di Negeri Sembilan dengan 50 kes.
“Turut melaporkan pertambahan kes ialah kluster-kluster di Selangor dengan Hentian mencatatkan 22 kes lagi manakala Kluster Utama turut melaporkan satu kes,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID