5 NOV: Polis Selangor menahan 29 suspek disyaki terbabit dengan kegiatan gengsterisme jenayah terancang menerusi Ops Blackjack.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata operasi itu dijalankan susulan kes tembakan yang berlaku pada 25 September lalu, kira-kira jam 12.35 tengah hari di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok Banting.
“Berikutan kejadian tembak dan langgar pelajar sekolah di hadapan sekolah berkenaan, JSJ Selangor dan JSJ Bukit Aman melaksanakan operasi besar-besaran dan menangkap 19 suspek disyaki berkaitan dengan aktiviti gengsterism serta jenayah terancang.
“Siasatan susulan dibuat untuk mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) ke atas kumpulan ini.
“Seterusnya, 10 orang lagi ditangkap menjadikan keseluruhan 29 orang suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadzil berkata, kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 27 Oktober lalu untuk menilai dan mengkaji bagi melaksanakan pertuduhan di bawah Jenayah Terancang ke atas semua suspek.
“Polis berharap kejayaan menuduh suspek ini akan dapat mengekang, seterusnya menghapuskan aktiviti berunsurkan gengsterisme dan jenayah terancang sekitar Banting, Kuala Langat dan Negeri Selangor keseluruhannya,” katanya.
Pada 25 September lalu, media melaporkan sekurang-kurangnya tiga pelajar cedera selepas dirempuh kereta dinaiki dua lelaki yang cedera akibat terkena tembakan dalam kejadian di hadapan sekolah itu pada tengah hari.
Fadzil dalam kenyataan berkata, dua lelaki terbabit dipercayai ditembak dua individu yang menaiki sebuah motosikal.
Katanya, mangsa yang cedera terkena tembakan itu adalah seorang pengawal peribadi dan majikannya.