5 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau dan Penjara Sandakan serta Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan mulai esok hingga 19 November ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, saringan Kementerian Kesihatan di PTS Tawau setakat semalam mendapati sebanyak 440 kes positif COVID-19 melibatkan tahanan dan kakitangan.
“PKPD ini akan melibatkan 1,707 inidividu yang terdiri daripada 1,603 tahanan dan 104 kakitangan.
“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD ini adalah sama seperti SOP PKPD penjara/pusat tahanan yang telah diumumkan sebelum ini termasuk larangan keluar masuk daripada kawasan ini dan lawatan oleh ahli keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, menurut beliau, hasil 669 saringan oleh Kementerian Kesihatan setakat semalam mendapati sebanyak 111 kes positif COVID-19.
Ismail Sabri menambah, pelaksanaan PKPD di kawasan itu akan melibatkan seramai 1,605 individu yang merangkumi 1,308 orang tahanan dan 297 orang kakitangan.
Beliau memberitahu, PKPD Anjung Teduh Felda Sahabat, Lahad Datu yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan mulai 7 hingga 20 November ini.
Ismail Sabri turut mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Parit Buntar, Perak; Mukim Rasau, Dungun dan Mukim Jimah, Port Dickson mulai 7 hingga 20 November ini.
PKPD di Penjara Pokok Sena pula akan berakhir pada 7 November seperti yang dijadualkan.
Beliau berkata, PKPD enam lokaliti di Semporna iaitu Kampung Bangau-Bangau Darat, Kampung Bangau-Bangau Hujung, Kampung Halo dan Kampung Ubian serta Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Simunul dan Kampung Pinggir Bakau serta Kampung Pengkalan di Kunak akan ditamatkan seperti yang dijadualkan esok.
Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 506 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Daripada jumlah itu, seramai 498 individu telah dikompaun, enam individu direman manakala dua dijamin.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk premis gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (145), tidak memakai pelitup muka (124), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (96), aktiviti pusat hiburan (72), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (17) dan kesalahan-kesalahan lain (52),” jelasnya.
Op Benteng semalam pula menyakskan pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 41 pendatang asing tanpa izin, dua tekong, dua penyeludup dan merampas lima kenderaan darat.
“Daripada jumlah itu, pasukan tentera berjaya menahan 23 PATI di kawasan Hutan Desaru Coast, Johor,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN