5 NOV: Kerajaan meneliti cadangan untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat secara maya berikutan penularan pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara berkenaan boleh dilaksanakan dengan hanya melakukan pindaan terhadap Peraturan Mesyuarat.
“Kita sedang teliti (persidangan secara dalam talian) dan jika perkara ini dirasakan boleh dilakukan secepat mungkin, ia akan dilakukan.
“Tidak perlu kita bawa Rang Undang-undang (RUU), kita hanya perlu pinda Peraturan Mesyuarat sahaja,” katanya menjawab celahan Ahli Parlimen PH Kuantan, Fuziah Salleh dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Takiyuddin membentangkan usul menghentikan kuat kuasa beberapa Peraturan Mesyuarat berikutan perubahan yang dilaksanakan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19.
Fuziah yang mencelah ketika usul itu dikemukakan meminta penjelasan adakah Dewan Rakyat perlu meluluskan satu RUU jika mahu membuat persidangan melalui platform digital atau secara maya. – Oleh HAIKA KHAZI