6 NOV: PAS menyifatkan Belanjawan 2021 adalah sebuah bajet yang amat prihatin dan inklusif.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, peruntukan berkenaan diharap dapat diagih dengan segera dan saksama, bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat dan peniaga, seterusnya memacu pemulihan ekonomi negara.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan atas kejayaan membentangkan Belanjawan 2021 yang disifatkan untuk melindungi rakyat dan perniagaan, membantu mereka untuk melonjak kembali dan menjamin masa depan yang lebih berdaya tahan.
“Belanjawan 2021 adalah sebuah bajet yang amat prihatin dan inklusif. Diharapkan ianya dapat diagih dengan segera dan saksama, bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat dan peniaga, seterusnya memacu pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataannya mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2021 dibuat Menteri Kewangan di Dewan Rakyat petang tadi.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata beliau memberi jaminan bahawa semua Ahli Parlimen PAS akan memberikan sepenuhnya sokongan kepada usul Belanjawan 2021 berkenaan.
“Saya dan seluruh Ahli Parlimen PAS mengikuti pembentangan Belanjawan 2021 oleh YB Menteri Kewangan hari ini, dan insyaAllah kami akan berbahas bagi menyokong Belanjawan yang cukup baik ini.
“Semoga usaha Kerajaan melalui Belanjawan 2021 akan menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” katanya.