6 NOV: Peruntukan berjumlah RM31.94 bilion diterima Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Belanjawan 2021, menjadi platform untuk memperkukuh, membangun dan mengembangkan sektor kesihatan awam dan rawatan primer di Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata belanjawan itu bukan saja memberi tumpuan untuk KKM memerangi COVID-19, malah menjadi kerangka jangka masa panjang supaya amalan gaya hidup sihat diamalkan rakyat Malaysia.
“Untuk 2021, KKM menerima peruntukan berjumlah RM31.94 bilion berbanding RM30.6 bilion pada tahun ini.
“Kita juga menghargai kerana kerajaan menyuntik RM1.8 bilion tahun ini untuk pendekatan menyeluruh menangani COVID-19, selain RM1 bilion lagi untuk meningkatkan saringan dan kesihatan awam dengan membekalkan kit saringan dan reagen.
“Belanjawan 2021 juga membolehkan pembayaran elaun RM600 sebulan kepada petugas barisan hadapan sehingga wabak tamat.
“Terima kasih barisan hadapan kerana masih terus berjuang memastikan kita bebas daripada wabak COVID-19,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Belanjawan 2021 juga dilihat positif terhadap aspek kesihatan awam menerusi peruntukan RM90 juta untuk vaksinasi pneumokokal kepada kira-kira 500,000 kanak-kanak.
Selain itu, katanya, kelainan Belanjawan 2021 turut terlihat menerusi penekanan pada elemen kesihatan mental dengan peruntukan RM24 juta untuk memperkukuh Program Kesihatan Mental, Pencegahan Keganasan dan Kecederaan serta Penyalahgunaan Substans.
“Untuk memastikan kelangsungan program perubatan, kita perlu pertingkatkan kedudukan ‘triage’ atau tempat saringan awal pesakit dan bangunan yang dikhususkan untuk saringan COVID-19 individu,” katanya.