6 NOV: Peminjam kategori B40 dan kumpulan perusahaan mikro diberi pilihan untuk menangguh atau mengurangkan ansuran bulanan pembiayaan mereka dengan pihak bank.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, ia adalah inisiatif kerajaan bersama institusi perbankan untuk menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40, yang menjadi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Katanya, bantuan itu juga akan memanfaatkan kumpulan perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga RM150,000.
“Peminjam dalam kategori ini akan diberi pilihan. Pilihan pertama, menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan, atau pilihan kedua, pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, katanya, untuk peminjam dari golongan M40, proses permohonan baru bayaran balik pinjaman akan dipermudahkan.
Katanya, peminjam hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri pengurangan pendapatan untuk mendapat bantuan bayaran balik.
Jelas beliau, fleksibiliti-fleksibiliti ini akan bermula pada Disember 2020.
“Pada masa ini 98 peratus daripada 650,000 permohonan pembiayaan telah diluluskan.
“Pada masa sama, kira-kira 85 peratus peminjam telah meneruskan semula pembayaran pinjaman mereka tanpa meminta bantuan sejak moratorium automatik berakhir,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia adalah negara pertama di dunia yang memberikan moratorium pinjaman secara automatik sebelum ini.