6 NOV: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berharap penjawat awam dapat bersama-sama berganding bahu memberikan perkhidmatan terbaik dalam norma baharu, bagi mengembalikan semula kegemilangan negara demi kesejahteraan rakyat.
Mohd Zuki dalam kenyataan hari ini juga, mengucapkan terima kasih atas beberapa insentif untuk penjawat awam seperti diumum dalam Belanjawan 2021, yang disifatkannya sebagai pengiktirafan dan penghargaan kerajaan.
“Ia adalah satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan buat perkhidmatan awam dan penjawat awam, bukan sahaja barisan hadapan tetapi juga keseluruhan penjawat awam, yang memainkan peranan penting bukan sahaja untuk memutuskan rantaian COVID-19 tetapi juga merancakkan semula pertumbuhan ekonomi yang terjejas akibat pandemik ini,” katanya.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan belanjawan hari ini mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM600 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah, manakala bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen pula bantuan khas kewangan RM300, kedua-duanya akan dibayar pada awal 2021.
Selain itu, kerajaan turut melaksanakan pemberian one-off sebanyak RM500 yang akan memanfaatkan 100,000 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menghargai jasa mereka.
Belanjawan 2021 bertemakan Teguh Kita, Menang Bersama.