6 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan Inspektor bersama seorang penjawat awam semalam, disyaki terbabit kes suapan berjumlah RM800,000.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata ASP berusia 38 tahun dan Inspektor berumur 34 tahun itu bertugas bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Beliau berkata, seorang lagi suspek berusia 49 tahun pula bekerja di mahkamah di Petaling Jaya.
Katanya, ketiga-tiga individu itu disyaki terbabit kes sogokan bagi menyelesaikan kes membabitkan sindiket yang melaksana dan menyelenggarakan aplikasi perjudian dalam talian.
“Mereka ditahan susulan penangkapan pemilik syarikat membuat aplikasi perjudian dalam talian bersama 35 pekerjanya pada 2 Oktober lalu.
“Pemilik syarikat itu telah dibawa ke sebuah balai polis di sini, jam 6 petang 4 Oktober lalu, untuk bertemu pegawai penyiasat kanan berusia 38 tahun.
“Pada masa sama, seorang lelaki berusia 34 tahun didakwa mengaku diri sebagai orang tengah kepada pemilik syarikat itu.
“Lelaki itu juga dikatakan mendakwa boleh menyelesaikan semua kes sedang disiasat terhadap pemilik dan pekerja syarikat berkenaan, selain membatalkan reman.
“Dua lelaki itu juga didakwa berjanji untuk memulangkan barangan rampasan. Wang yang didakwa diminta untuk berbuat demikian ialah sebanyak RM800,000,” katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Ezanee memaklumkan, semua perbualan, termasuk tawaran wang berkenaan, disyaki berlaku di hadapan ASP terbabit di sebuah bilik di balai polis itu.
“Lelaki itu turut disyaki menghubungi pakar judi supaya laporan pakar judi dikeluarkan adalah negatif yang menyebabkan kes ditutup.
“Selepas itu, pegawai terbabit didakwa menghubungi ‘majistret’ untuk datang ke balai polis berkenaan.
“Kira-kira 10 minit kemudian, seorang lelaki dikatakan ‘majistret’ tiba dan diarah membatalkan sambung reman terhadap semua individu berkaitan,” katanya.
Berikutan itu, Nik Ezanee berkata, pemilik syarikat berkenaan dikatakan beranggapan suspek boleh membantu menyelesaikan kes dan bersetuju menyerahkan wang seperti diminta.
“Lelaki itu kemudian dikatakan menghubungi isterinya supaya menyediakan wang pendahuluan berjumlah RM300,000 dan mengarahkan isteri bersama seorang rakan warga asing menyerahkan wang berkenaan kepada orang tengah.
“Mereka didakwa menyerahkan wang tunai berjumlah 99,000 dolar Singapura (kira-kira RM300,000) kepada orang tengah itu di tempat letak kereta di sebuah restoran segera di daerah ini.
“Selain dua pegawai polis dan penjawat awam berkenaan, kita turut menangkap pasangan suami isteri itu serta rakan mereka, kelmarin,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas tiga telefon bimbit, dua jam tangan, tiga pasang kasut, dua rantai kunci dan satu pasport hasil tangkapan semua suspek.
Tiga individu, termasuk pemilik syarikat itu, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, polis sedang mendapatkan permohonan reman terhadap dua pegawai polis dan seorang penjawat awam terbabit bagi membantu siasatan lanjut.