6 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertegas dengan Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) yang didakwa melakukan provokasi melampau terhadap institusi raja berperlembagaan di negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, kerajaan perlu memantau aktiviti pertubuhan pelajar tersebut supaya tidak terus menjadi ‘api’ yang mampu memusnahkan perpaduan masyarakat.
Beliau juga berharap agar mereka dikenakan tindakan di bawah Akta yang berkaitan seperti Akta SOSMA disebabkan jelas tindakan yang dilakukan oleh UMANY bersifat menghasut rakyat.
“Kita minta kerajaan, PDRM lebih tegas sebab kita tidak mahu gerakan ini menjadi besar. Inilah yang kita desak agar pihak polis dan juga Peguam Negara berfikiran lebih terbuka dan cepat mengambil tindakan terhadap UMANY.
“Ada juga ahli-ahli Parlimen sebelum ini mengatakan akta sebelum ini sudah cukup tetapi masalah kita penguatkuasaan. Kita mohon sangat untuk melihat perkara ini sebagai isu yang besar.
“Api ini perlu dipadamkan sekarang, tidak boleh kita biarkan begitu sahaja,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Balai Polis Jalan Pantai Bharu, Kuala Lumpur, hari ini.
Razlan berkata demikian selepas menemami Ahli UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim yang membuat satu laporan polis terhadap UMANY.
Dalam pada itu, Razlan juga mengharapkan agar pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) mengambil tindakan displin terhadap setiap individu yang terlibat kerana didakwa telah menghina Yang di-Pertuan Agong.
Tambah beliau, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga turut digesa agar tidak berlembut dengan tindakan pelajar tersebut yang jelas melanggar undang-undang dengan alasan kebebasan bersuara.
“Saya juga minta pengurusan UM agar tegas keraka kita menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan sistem Raja Berperlembagaan. Apa sahaja kebebasan bersuara itu sekiranya ia melanggar lunas undang-undang, ia bukan kebebasan bersuara.
“Ini saya minta UM untuk mengenakan tindakan kepada pelajar ini. KPT juga perlu beri sokongan kepada UM untuk mengambil tindakan ini.
“Kita jangan lihat ini sebagai langkah mengekang hak kebebasan bersuara yang tidak melanggar undang-undang,” katanya.
Terdahulu, persatuan itu sebelum ini membuat hantaran di Facebook menyatakan “Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara” yang menerima kecaman daripada pelbagai pihak.