6 NOV: Kementerian Luar akan berusaha sedaya upaya memanfaat RM778 juta diperuntukan dalam Belanjawan 2021 demi mempertahankan kepentingan Malaysia di persada antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata daripada jumlah berkenaan, RM703.2 juta adalah perbelanjaan pengurusan manakala RM74.8 juta perbelanjaan pembangunan.
Berikutan itu, Hishammuddin berkata kementerian akan menggunakan sebahagian peruntukan berkenaan untuk menaik taraf infrastruktur serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi di Wisma Putra serta pendigitalan perkhidmatan konsular Malaysia di luar negara.
“Sebagai Menteri Luar, saya menyambut baik dan berterima kasih kepada Kementerian Kewangan atas peruntukan ini. Sesungguhnya, ia bertepatan dengan keperluan Wisma Putra, terutama ketika era pandemik.
“Ini kerana sebahagian besar perbincangan, komunikasi, mesyuarat serta persidangan melibatkan saya dan kepimpinan Wisma Putra dengan para pemimpin di seluruh dunia dilaksanakan secara dalam talian. Situasi ini sekali gus memerlukan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi yang moden serta stabil.
“Secara keseluruhannya, Wisma Putra akan berusaha sedaya upaya memanfaatkan peruntukan RM778 juta ini demi mempertahankan kepentingan Malaysia di persada antarabangsa, mengukuhkan peranan Pejabat-Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara, membela kebajikan warga Wisma Putra di seluruh dunia selain menjayakan perancangan Kerajaan berkaitan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan selepas pembentang Belanjawan 2021 dikemukakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata beliau percaya di era pandemik yang mencabar ini, kerjasama antara setiap kementerian jauh lebih mustahak berbanding sebelum ini.
Beliau berkata Wisma Putra akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi membantu Kementerian-Kementerian lain menjayakan usaha serta inisiatif yang bersesuaian dengan bidang kuasa Wisma Putra seperti Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) Dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, Wisma Putra akan terus bekerjasama rapat dengan MOSTI dan KKM dalam usaha memastikan Malaysia mendapat first mover advantage, atau negara penerima manfaat terawal vaksin Covid-19 sebaik sahaja ia berjaya dibangunkan.
“Baru-baru ini Wisma Putra telah berjaya mendapatkan persetujuan China untuk mengutamakan Malaysia sebagai penerima vaksin yang dibangunkan mereka.
“Usaha ini tidak akan berhenti setakat ini sebaliknya Wisma Putra, MOSTI dan KKM akan terus menggiatkan usaha bagi mendapatkan vaksin menerusi pendekatan diplomasi vaksin,” katanya.
Beliau berkata langkah berkenaan sejajar dengan pengumuman Menteri Kewangan hari ini untuk menaikkan siling Kumpulan Wang COVID-19 kepada RM65 billion yang mana antara tujuannya ialah perolehan vaksin.
“Wisma Putra juga akan bantu sehabis baik demi menjayakan perancangan Kerajaan seperti diumumkan hari ini untuk menyertai program COVID-19 Vaccine Global Access atau COVAX.
“Kita juga sedia membantu menjayakan perancangan kerajaan serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk mencari pasaran-pasaran baharu bagi memasarkan produk kelapa sawit,” katanya.