6 NOV: Sebanyak RM2.7 bilion disalurkan dalam Belanjawan 2021 bagi melaksanakan pelbagai program dan projek penambahbaikan infrastruktur luar bandar di seluruh negara.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa sepanjang 920 kilometer bagi memberi manfaat kepada lebih 290,000 penduduk.
Menurut beliau, selain itu, sebanyak RM632 juta diperuntukkan bagi bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif dengan sasaran 4,800 buah rumah.
“RM250 juta disediakan untuk bekalan elektrik luar bandar dengan sasaran lebih 1,100 buah rumah.
“RM355 juta bagi Program Bantuan Rumah kepada golongan miskin iaitu membina rumah baharu dan membaik pulih rumah dengan sasaran 15,000 buah rumah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Tengku Zafrul menambah, sebanyak RM121 juta turut diperuntukkan bagi memasang 27,000 unit lampu serta menanggung kos operasi dan penyelenggaraan 500,000 unit lampu jalan kampung.
Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan akan memperluaskan perkhidmatan bank bergerak di Sabah dan Sarawak, seperti yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Sarawak.
“Langkah ini dapat membantu masyarakat yang sukar mendapat akses perbankan asas seperti pemindahan wang, pembayaran bil dan kemudahan mengeluarkan wang bantuan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR),” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN