6 OKT: Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin, bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, kerana keprihatinan kerajaan terhadap sektor pendidikan negara.
Mohd Radzi berkata beliau gembira kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapat peruntukan terbesar iaitu RM50.4 bilion dalam Belanjawan 2021 dibentangkan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
“Alhamdulillah, pelbagai cadangan yang dibawa oleh KPM telah dipersetujui oleh kerajaan. Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Kewangan di atas keprihatinan kepada pendidikan negara.
“KPM merupakan kementerian yang mendapat peruntukan terbesar, sebanyak RM50.4 bilion. Ayuh, sama-samalah kita terus bangunkan pendidikan negara demi untuk generasi pewaris kita,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebooknya sebentar tadi.
Terdahulu, media melaporkan KPM terus menerima peruntukan terbesar membabitkan sebanyak RM50.4 bilion yang meliputi 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan bawah Belanjawan 2021.
Tengku Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 menegaskan ini kerana pendidikan adalah pelaburan paling penting dalam usaha memastikan kualiti kehidupan lebih baik untuk generasi akan datang.