6 NOV: Dewan Rakyat secara sebulat suara meluluskan usul daripada Ahli Parlimen PH Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membenarkan semua Ahli Parlimen masuk ke dalam dewan untuk mengikuti sesi pembentangan Belanjawan 2021, petang ini.
Anwar ketika membentangkan usul tersebut menyatakan, kehadiran kesemua 222 Ahli Parlimen dalam sesi tersebut dipercayai tidak akan menimbulkan risiko kesihatan.
“Kalau dikatakan terlalu berat atas kesihatan, semalam kita semua bersidang dalam jangka waktu yang lebih panjang.
“Dalam masa satu setengah jam, dua jam, saya tidak fikir akan menjejaskan kesihatan.
“Saya mohon pertimbangan Yang Dipertua menangguhkan lima minit untuk ahli-ahli Yang Berhormat di luar masuk ke dalam,” katanya.
Usul tersebut disokong oleh Ahli-ahli Parlimen yang lain termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak), Lim Guan Eng (PH-Bagan), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun).
Difahamkan, semua timbalan menteri juga pada mulanya tidak dibenarkan memasuki dewan.
Setelah mempertimbangkan pandangan Ahli-ahli Parlimen, Azhar membuat keputusan membenarkan semua Ahli Parlimen masuk ke dalam dewan untuk mengikuti pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sidang ditangguhkan selama lima minit bagi membolehkan Ahli-ahli Parlimen yang berada di luar masuk ke dalam dewan. – Oleh HUSSAINI AMRAN