7 NOV: Seorang kakitangan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah disahkan positif jangkitan COVID-19.
Datuk Bandar Seremban, Datuk Zazali Salehudin berkata, seramai 262 kakitangan MBS juga telah diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah mulai 5 November lalu.
Menurut beliau, arahan itu dikeluarkan atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah Seremban.
“Antara jabatan terlibat adalah Jabatan Khidmat Pengurusan, Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan, Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Pelancongan dan Unit Letak Kereta,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Zazali menambah, semua kakitangan terbabit perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa berada di rumah dalam tempoh kuarantin serta memastikan mereka sentiasa boleh dihubungi.
“Premis MBS akan beroperasi seperti biasa, namun demi keutamaan keselamatan warga bandar raya Seremban dan pelanggan MBS, talian aduan MBS ditutup buat sementara waktu.
“Dalam tempoh penutupan, aduan boleh dilakukan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MBS, mbseremban.spab.gov.my dan aplikasi Respons Rakyat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH