8 NOV: Selepas mencatatkan kes empat angka sejak lima hari lalu, kes baru COVID-19 kembali turun kepada tiga angka hari ini dengan 852 kes dilaporkan.
Perkembangan ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 40,209 kes manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 11,689 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah mencatatkan sebanyak 524 kes atau 61.5 peratus daripada keseluruhan kes positif pada hari ini.
Menurut beliau, negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 161 kes bersamaan 18.9 peratus dengan 136 daripadanya dikesan di Selangor manakala Labuan mencatatkan sebanyak 24 kes positif pada hari ini.
Katanya, kelima-lima negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan menyumbang sebanyak 709 kes bersamaan 83.2 peratus daripada keseluruhan kes positif COVID-19 pada hari ini.
“Sehingga kini, terdapat 94 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 286 kes.
“Kes kematian hari ini melibatkan dua di Sabah iaitu kematian di Hospital Tawau dan Sandakan manakala masing-masing satu kematian di Hospital Ipoh dan Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Noor Hisham, Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih COVID-19 sebanyak 825 kes.
Sementara itum daripada 852 kes baharu pada hari ini, beliau berkata, terdapat 13 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan lapan (8) warganegara dan lima (5) bukan warganegara.
Katanya, kes import hari ini melibatkan ketibaan dari Indonesia dengan tiga kes, Arab Saudi (3); Nepal (2 kes);
Maghribi (1 kes); Emiriah Arab Bersatu (1 kes); United Kingdom (1 kes); Turki (1 kes); dan Korea Selatan (1 kes).
“Sementara itu, sebanyak 70 kes (8.2 peratus) yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara.
“Ini melibatkan Kluster Penjara Sandakan (34 kes), Kluster Benteng LD (18), Kluster Penjara Kepayan (9 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (7 kes), Kluster Rumah Merah (1 kes), dan Kluster PTS Tawau (1 kes),” katanya.
Sementara itu, kata Noor Hisham, turut melaporkan kes baru tiga angka hari ini selain Sabah dan Selangor ialah Negeri Sembilan dengan 104 kes.
Katanya, 93 kes di negeri itu adalah daripada kluster-kluster sedia ada, termasuk tujuh kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Ikhtisas; lapan daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; satu kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI); dan dua kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
“Pulau Pinang pula melaporkan 18 kes diikuti Kuala Lumpur (11), Perak (7), Melaka (5) Kedah (3) Sarawak (2), Putrajaya (2), Kelantan (2), manakala Johor dan Terengganu masing-masing satu kes. -Oleh M. HERMAN HAMID