8 NOV: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyeru semua pihak memberikan sokongan dan kerjasama kepada kerajaan bagi memastikan Belanjawan 2021 ini diluluskan dan segala perancangan yang terkandung dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat dan kemapanan ekonomi negara.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Belanjawan 2021 yang bertemakan “Teguh Kita, Menang Bersama” membuktikan komitmen, kemampuan dan kebijaksanaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memenuhi keperluan rakyat dan memulihkan keadaan ekonomi negara.
Menurut beliau, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM322.5 bilion, Belanjawan 2021 mengandungi pelbagai inisiatif yang dapat meringankan tanggungan rakyat selain menawarkan perlindungan sosial yang lebih baik kepada rakyat ketika berdepan dengan pandemik COVID-19.
“BERSATU menzahirkan keyakinan dan sokongan penuh terhadap Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bagi pihak kerajaan pada 4 November lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, kata Hamzah, selain meningkatkan kadar bantuan kebajikan kepada warga emas, golongan OKU dan kanak-kanak daripada keluarga miskin, BERSATU juga menyambut baik inisiatif kerajaan untuk membela golongan rentan dengan memberikan nilai bantuan yang lebih tinggi dan bersasar melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
“Belanjawan 2021 menawarkan pelbagai kemudahan, insentif dan pengecualian cukai perniagaan kepada para pelabur, peniaga serta pemain industri bagi tujuan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara, seterusnya untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan berdaya saing tinggi.
“Sebagai tambahan kepada Pakej Ransangan Ekonomi bernilai RM305 bilion sebelum ini, Belanjawan 2021 merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap situasi semasa rakyat dan belanjawan ini juga menggariskan strategi serta kesediaan kerajaan dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi global tahun hadapan,” jelasnya yang juga Menteri Dalam Negeri.