8 NOV: Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menegaskan beliau adalah Presiden kepada semua tanpa mengira latar belakang parti sama ada Demokrat atau Republikan.
“Ya saya berkempen sebagai sebagai seorang calon Demokrat tetapi saya akan mentadbir AS sebagai seorang Presiden.
“Tugas menanti kita sangat besar, tetapi yakinlah yang kita mampu lakukan,” katanya dalam respons awal kemenangannya bersama Naib Presiden, Kamala Harris.
Pemimipin Demokrat berusia 77 tahun ini dijangka menyampaikan ucapan kemenangan tidak lama lagi yang menjadi tradisi AS.
Biden menang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46 apabila berjaya memperolehi 284 undi elektoral.
Pencabarnya, Donald Trump dari parti Republikan yang juga penyandang hanya meraih 214 undi elektoral.
Agensi berita asing melaporkan, kerusi terakhir dimenangi Biden adalah Pennsylvania yang memberinya 20 undi elektoral.
Kejayaan dengan kempen bertemakan ‘A Battle for the Soul of the Nation’ juga membolehkan Biden menafikan hasrat Trump untuk menjadi presiden untuk penggal kedua.
Trump dilaporkan masih enggan menerima keputusan pilihan raya Presiden AS yang memihak kepada calon Demokrat, Joe Biden.
Beberapa minit selepas media AS mengisytiharkan kemenangan Biden, Trump menolak keputusan itu dan bertegas mahu membuktikan siapa pemenang sebenar di mahkamah.
“Fakta mudah yang jelas, pilihan raya ini masih belum berakhir. Undian yang sah penentu siapa menjadi Presiden, bukan berita dari media,” katanya menerusi kenyataan.
Trump sebelum ini berkata, pasukan kempennya akan merujuk ke mahkamah pada Isnin bagi memastikan undang-undang pilihan raya ditegakkan dan pemenang sebenar dapat ditentukan.
Beliau mengharapkan pengiraan semula undi di negeri yang Biden hanya memenangi beberapa ribu undi saja sambil merujuk Pennsylvania, negeri yang dikatakan dipenuhi dengan undi tidak sah.
Peguam Trump, Rudy Giuliani berkata, jaringan berita bukan penentu keputusan pilihan raya Presiden sebaliknya ia diputuskan mahkamah untuk mengesahkannya.