8 NOV: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai ketua-ketua kerajaan dari seluruh dunia mengucapkan tahniah di atas kemenangan Joe Biden pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu kenyataan, Muhyiddin berkata, Malaysia berharap hubungan dua hala dengan AS akan bertambah kukuh di bawah kepimpinan Biden kelak.
Katanya, ini terutama melibatkan cabaran-cabaran di hadapi bersama peringkat global ketika ini khususnya impak pandemik COVID-19.
“Saya berharap Biden akan menjalankan tugas beliau dengan penuh jayanya sebagai Presiden.
“Semoga dapat mengadakan pertemuan bersama beliau suatu masa nanti,” kata Muhyiddin dalam kenyataan itu yang turut dimuat naik di Facebook beliau.
Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, pada Sabtu mengucapkan tahniah kepada Joe Biden dan Kamala Harris atas kemenangan menguasai Rumah Putih, lapor Agensi Anadolu.
“Tahniah, @JoeBiden dan @KamalaHarris. Kita dua negara bersahabat, rakan kongsi dan sekutu rapat. Kita berkongsi hubungan yang unik di pentas dunia,” tulis Trudeau di Twitter.
“Saya amat berharap dapat bekerjasama dan membangunkannya bersama dengan anda berdua,” tambahnya.
Turut mengucapkan tahniah Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson.
“Tahniah kepada Joe Biden atas pemilihannya sebagai Presiden Amerika Syarikat dan kepada Kamala Harris atas pencapaian bersejarahnya,” kata Johnson menerusi Twitter.
Presiden Perancis Emmanuel Macron pula berkata: “Rakyat Amerika sudah memilih Presiden mereka. Tahniah @JoeBiden dan @KamalaHarris! Kita harus melakukan banyak perkara untuk mendepani cabaran hari ini. Mari bekerjasama!” tulis Macron di Twitter.
Biden menang di negeri penting, Pennsylvania dan dengan kemenangan itu membolehkannya mendahului dengan 270 undi elektoral yang diperlukan untuk menawan Rumah Putih, menurut Associated Press dan beberapa media utama lain.
Calon Demokrat itu kini mempunyai 290 undi, dan cemerlang di negeri seperti Georgia, Carolina Utara dan Alaska.