9 NOV: Antara prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Bergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Lembah Kelang sejak lebih tiga minggu lalu ialah tidak dibenarkan merentas daerah.
Pengecualian hanya dibenarkan untuk pergi balik kerja bagi mereka yang tetap perlu ke pejabat dan juga urusan perkhidmatan penting seperti yang melibatkan rantaian bekalan makanan.
Namun, apabila seorang wakil rakyat DAP, Young Syefura Othman memuat naik gambarnya di sebuah resort terkenal di Sepang sedang berpiknik meraikan hari lahir, ia pantas mengundang persoalan dalam kalangan netizen.
Pertama, mereka mempersoalkan di mana lokasi kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari itu kerana kawasannya adalah di Bentong, Pahang.
Kedua, jika di tinggal di daerah yang sama sekali pun dengan resort berkenaan, gambarnya bersama-sama rakan berkumpul bagi meraikan hari jadi didakwa mereka jelas melanggar SOP.
Apatah lagi gambar di Instagram wakil rakyat DAP itu memaparkan tidak ada penjarakan fizikal dan tidak memaki pelitup muka.
Sebagai contoh, kata mereka, untuk makan di restoran sekali pun hanya dua orang semeja dibenarkan.
Menyedari, gambar tersebut menjadikannya ‘dipanggang’ netizen, Young Shefura atau lebih dikenali Rara memadamnya dan disusuli dengan permohonan maaf.
Bagi mengukuhkan permohonan maaf itu, Rara yang hari lahirnya jatuh pada hari ini berkata, beliau sedia disiasat dan menjelaskan kediamannya adalah di Selangor dan oleh itu beliau bebas bergerak di negeri itu yang diletakkan di bawah PKPB.
“Saya memohon maaf jika tindakan saya melanggar sebarang SOP Covid-19. Saya tak menggunakan sebarang kelebihan sebagai seorang wakil rakyat untuk bergerak di dalam Selangor, negeri saya bermastautin. Saya rela disiasat oleh pihak berkuasa jika tindakan saya melanggar sebarang SOP Covid-19. Terima kasih,” katanya menerusi media sosial beliau.
Bagaimanapun, itu belum cukup memuaskan hati netizen yang terus mempersoalkan aspek pematuhan SOP kerana PKPB di Selangor bukan sekadar larangan merentas negeri bahkan tidak boleh merentas daerah untuk aktiviti sosial.
Tak terkecuali, komen-komen netizen yang membangkitkan sikap orang politik yang pandai mengecam pihak lain, tetapi diri sendiri turut melakukan hal sama.
“Kutuk Takiri (Datuk Dr Khairuddin Aman Razali) kemain lagi, rupa-rupanya wakil Ketari pun tak semenggah,” kata pengguna Twiter Irfanasyraf.
“Karma sis. Lain kali jangan duk kutuk orang ye,” kata seorang lagi pengguna Twitter akaun Razuan 77.