9 NOV: Pemberian peruntukan berjumlah RM4.5 bilion dan pelbagai bantuan lain secara terus menerusi kementerian tertentu seperti diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dalam Belanjawan 2021, Jumaat lalu, membuktikan Sarawak tidak ‘dianaktirikan’ oleh Kerajaan Persekutuan sekarang.
Berikutan itu, Ahli Parlimen BN Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana memberikan peruntukan sebanyak RM4.5 bilion kepada Sarawak dalam Belanjawan 2021 kali ini.
Malah, Rohani mendedahkan peruntukan itu adalah meningkat sebanyak kira-kira RM120 juta berbanding di zaman pemerintah Pakatan Harapan (PH) iaitu RM4.4 juta dalam Belajawan 2020.
“Secara dasarnya terdapat penambahan dana sebanyak RM120 juta berbanding RM4.4 bilion dalam Belanjawan 2020. Jadi bagi saya soal Sarawak dikatakan dianaktirikan tidak menjadi isu kerana Sarawak turut memperoleh jumlah peruntukan besar bukan secara langsung diumumkan Menteri Kewangan, pada Jumaat lalu.
“Sarawak mendapatkan semula peruntukan untuk menyukat tanah hak adat Bumiputera (NCR) yang dihentikan PH dalam Belajawan 2020 lalu. Selain itu Sarawak juga menerima manfaat besar segi kebajikan dan penerima bantuan bulan bagi membantu usahawan tempata yang disalurkan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Parlimen sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Rohani berkata Sarawak juga menerima agihan peruntukan dari kementerian lain termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membantu pemain industri pelancongan di negeri berkenaan dalam mendepani kemerosotkan ekonomi pasca Covid-19.
Rohani juga mengesahkan bahawa Sarawak adalah antara negeri yang menerima peruntukan terbesar menerusi agensi kerajaan lain termasu Kementerian Pendidikan Malaysia; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan lain-lain.
“Jadi sekarang tidak timbul soal Sarawak dianaktirikan dalam Belanjawan 2021, bahkan kesemua peruntukan ini dapat membantu Sarawak negeri Maju menjelang tahun 2030 seperti diilhamkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, sebelum ini
“Belajawan 2021 juga amat menyeluruh dan meliputi segenap lapisan masyarakat. Malah, langkah kerajaan menaikkan garis kemiskinan tegar nasional pada Julai lalu, kepada RM2,208 bagi setiap isi rumah berbanding RM908 sebelum ini membolehkan lebih ramai rakyat dapat bantuan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI