9 NOV: Harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak kepada RM3,429 satu tan pada Jumaat lalu, iaitu yang tertinggi sejak Mei 2012.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, komoditi itu mencatatkan harga melebihi RM3,200 satu tan sepanjang minggu lalu.
“Harga sawit tertinggi sejak Mei 2012. Alhamdulillah. Harga minyak sawit mentah pada 6 November ialah RM3,429.50, tertinggi sejak Mei 2012,” katanya melalui status Facebook hari ini.
Baru-baru ini, Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilaporkan berkata, permintaan tinggi daripada pembeli termasuk India dan China antara faktor harga MSM terus menunjukkan tren peningkatan ketara melebihi paras RM3,000 satu tan.
Katanya, permintaan MSM dari China juga dijangka terus meningkat menjelang Festival Pertengahan Musim Luruh dan Minggu Keemasan bermula bulan lalu.
Selain itu, katanya, pengukuhan harga minyak kacang soya (SBO) di US Chicago Board of Trade (CBOT) dan di China’s Dalian Commodity Exchange menyokong kenaikan harga MSM.
Katanya, harga MSM juga dipengaruhi oleh pergerakan harga minyak kacang soya kerana kedua-duanya bersaing di dalam pasaran minyak sayuran global.
Beliau berkata, peningkatan harga ini bukan saja menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, malah turut memberi manfaat kepada pekebun dan pemain industri sawit Malaysia.
“Ini sangat membantu kerana kita maklum rakyat sedang bergelut dengan sumber kewangan akibat daripada pandemik Covid-19,” katanya.