Oleh: HUSSAINI AMRAN
TIDAK sampai sehari selepas Belanjawan 2021 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu, sudah kedengaran suara-suara sumbang dari kem pembangkang.
Yang paling ketara adalah perasaan tidak puas hati pemimpin-pemimpin DAP berhubung isu tiada peruntukan bagi sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).
Salah seorang daripada pemimpin DAP yang bising-bising ialah Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
Beliau tidak berpuas hati sebab 60 SMPC di Malaysia menerima peruntukan RM12 juta dalam Belanjawan 2019 sebelum dinaikkan kepada RM15 juta dalam Belanjawan 2020.
Harus diingat Malaysia masih di bawah cengkaman Pakatan Harapan (PH) ketika dua belanjawan tersebut dibentangkan oleh bekas Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Kita juga boleh bertanya kembali kepada Poay Tiong dan DAP: Apakah wajar SMPC yang enggan menghormati Dasar Pendidikan Kebangsaan layak meneima bantuan daripada kerajaan?
Selama berpuluh-puluh tahun, SMPC yang didalangi Dong Zong bersikap keras kepala menuntut Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang tidak berasaskan kurikulum kebangsaan diiktiraf untuk kemasukan ke universiti awam dan perkhidmatan kerajaan.
Mereka semakin naik tocang apabila PH berkuasa lebih-lebih lagi setelah diberi dana oleh kerajaan ketika itu.
Patutkah SMPC diberi muka sedangkan falsafah pendidikan mereka tidak seiring dengan hasrat mewujudkan integrasi nasional dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama?
Dakwaan kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengabaikan pendidikan masyarakat Cina adalah tidak benar sama sekali.
Sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah menengah jenis kebangsaan Cina (SMJKC) masih lagi menerima peruntukan menerusi Belanjawan 2021.
Lagipun, mereka sendiri yang memilih untuk berada di luar kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan bantuan khas untuk SMPC sekiranya mereka menyertai sistem pendidikan kebangsaan yang berteraskan keharmonian kaum.
Jika SMPC tidak bersedia untuk mengubah sikap, lebih baik pemimpin-pemimpin DAP seperti Poay Tiong dan Teo Nie Ching duduk diam-diam sahaja.