10 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau 276 kluster pandemik COVID-19 termasuk 151 kluster masih aktif di seluruh negara, sehingga 9 November lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata daripada jumlah itu, kluster aktif yang masih dipantau oleh KKM adalah sebanyak 151 kluster dengan jumlah individu yang disaring adalah seramai 129,227 orang.
Beliau juga mengesahkan bahawa sebanyak 125 kluster telah tamat dengan jumlah individu yang disaring adalah seramai 194,527 orang.
Katanya, daripada 151 kluster aktif yang dilaporkan, kluster yang melaporkan kluster yang terbanyak adalah Kluster Kediaman dengan 64 kluster diikuti Kluster Tempat Kerja dengan 63 kluster dan Kluster Pusat Tahanan dengan sembilan kluster.
Selain itu, terdapat juga Kluster Kumpulan Berisiko (anggota kesihatan dan warga emas) dengan sembilan kluster, Kluster Keagamaan (selain kluster Tabligh SP) dengan tiga kluster dan Kluster Import dengan tiga kluster.
“Kluster terbesar yang dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan KKM adalah Kluster Tabligh Sri Petaling.
“Kluster terbabit melibatkan sebanyak 3,375 kes dan seramai 42,023 orang disaring. Kes pertama bagi kluster itu adalah pada 11 Mac 2020 dan kluster diisytihar tamat pada 8 Julai 2020. Keskes indeks adalah individu-individu yang menghadiri perhimpunan keagamaan di Masjid Sri Petaling,” katanya dalam jawapan bertulis sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bersatu Sabah Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan bilangan kluster yang menyebarkan pandemik Covid-19 di negara ini.
Mohd Fasiah juga meminta KKM menyatakan bilangan yang telah dikawal sepenuhnya dan bilangan kluster yang masih aktif terkini dan setakat manakah kluster-kluster ini telah memberi kesan kepada penyebaran COVID-19 di negara ini.
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, punca jangkitan kluster Tabligh Sri Petaling adalah dipercayai dari jangkitan import dari Indonesia dan berdasarkan siasatan yang telah dijalankan, kes indeks dan kontak rapat dikenal pasti serta ujian pengesanan COVID-19 telah dijalankan.
“Mengambil iktibar dari kluster ini, KKM berharap agar nasihatnasihat yang ditekankan oleh KKM diamalkan mengelakkan 3S iaitu elakkan kawasan yang sesak, sempit dan bertutur dengan jarak dekat.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengamalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020.
“Jika bergejala KKM menasihatkan orang ramai supaya elakkan bersalaman / bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin, dapatkan rawatan segera jika bergejala, duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung dan lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI