10 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat lagi kluster COVID-19 hari ini termasuk satu di Kelantan manakala tiga lagi di Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama ialah Kluster Liawan melibatkan daerah Keningau dengan kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 5 November lalu dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Keningau.
Katanya, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 23 lagi kes positif COVID-19. Kes-kes ini dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Keningau, Sabah.
“Sehingga jam 12 tengah hari, sejumlah 95 individu telah disaring, di mana 24 kes dikesan positif COVID-19 dan
17 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Tambah Noor Hisham, kluster kedua ialah Kluster Tahanan melibatkan daerah Kota Kinabalu dengan kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 1 November.
Katanya, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 17 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua kes tersebut dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Kota Kinabalu.
“Sehingga 10 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 28 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif dan 10 individu dikesan negatif.
“Ketiga ialah Kluster GK Tawau dengan kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 6 Oktober.
“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 48 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Tawau dan setakat tengah hari ini, sejumlah 168 individu telah disaring, di mana 49 kes dikesan positif manakala 78 individu masih menunggu keputusan,” jelasnya.
Sementara itu, kluster keempat ialah Kluster Kube melibatkan daerah Kota Bharu dan Tanah Merah di negeri Kelantan.
Katanya, kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 7 November lalu.
“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak sembilan lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Tumpat dan Hospital Raja Perempuan Zainab II.
“Sehingga 12 tengah hari, sejumlah 61 individu telah disaring, di mana 10 kes dikesan positif COVID-19,
46 individu dikesan negatif dan lima individu masih menunggu keputusan,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Noor Hisham, terdapat 46 kkluster aktif melaporkan pertambahan kes hari ini dengan yang tertinggi kluster Kaya, Usaha dan Cergas melibatkan kluster di Lembah Kelang dan Negeri Sembilan.
“Kluster Hentian di Hulu Langat Selangor kini mencatatkan 463 kes apabila 33 lagi penularan bari dari kluster berkenaan dilaporkan.
“Turut melaporkan kes bar, Kluster Utama dengan satu kes. Keseluruhannya 263 individu disahkan positif dari kluster ini.
“Sebanyak 28 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara. Ini melibatkan Kluster Penjara Seberang Perai (13), Penjara Kepayan (6), Kluster PTS Tawau (3), Kluster Penjara Sandakan (2), Kluster Rumah Merah (2) dan Kluster GK Tawau (2),” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID