10 NOV: Syarikat pembentungan negara, Indah Water Konsortium (IWK) menafikan dakwaan mereka adalah penyebab pencemaran sehingga mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Narendran Maniam, berkata pencemaran itu berpunca daripada sisa buangan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, IWK menghentikan pembebasan sisa kumbahan pada 4 November lalu, selepas mengesan sisa buangan haram dibuang dalam sistem pembentungannya.
Beliau berkata LRA yang terjejas terpaksa menghentikan aliran selama beberapa hari bagi mengelakkan tumpahan ke sistem perairan. Jika ini tidak dilaksanakan segera, kesan lebih buruk kepada alam sekitar akan berlaku.
“IWK juga melaksanakan rawatan menggunakan enzim bagi meneutralkan proses. Sepanjang tempoh itu, kami terpaksa melakukan proses rawatan air kumbahan di luar tapak.
“Sebaik kami menghentikan pembebasan sisa kumbahan bagi tujuan rawatan, kakitangan IWK terus memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Narendran berkata, pihaknya juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang tuduhan tidak berasas.
Pembuangan sisa industri ke dalam lubang pembentungan di kawasan industri berhampiran loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang dipercayai menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, hari ini.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian, berkata tindakan itu menyebabkan berlaku pencemaran bau di loji rawatan kumbahan IWK.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada unsur sabotaj menyebabkan pencemaran berlaku di kawasan terbabit.
Loy Sian pada sidang DUN Selangor hari ini berkata, hasil pemeriksaan awal, pihaknya mendapati pencemaran itu berpunca dari loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK).
Sementara itu, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kes pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor yang diumumkan Lembaga Urus Air Selangor (Luas).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pegawai penguat kuasa Luas membuat laporan polis pada jam 3 petang ini mengenai pencemaran yang dikesan di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang.
Fadzil berkata, siasatan awal pihak Luas mendapati air di loji disyaki mengandungi bahan solvent hingga ke tahap 8 ton.
“Berikutan daripada itu bekalan air terpaksa ditutup hingga kerja pembersihan selesai.
“Sehubungan dengan itu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.