10 NOV: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bermesyuarat semalam bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Badan Perhubungan Negeri PN bagi menyelaraskan aktiviti parti di peringkat negeri.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dalam hal ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melantik Pengerusi Badan Perhubungan Negeri yang seterusnya akan memanggil dan mempengerusikan semua mesyuarat Badan Perhubungan Negeri.
Beliau memberitahu, langkah itu bertujuan memperkasakan gerak kerja parti di peringkat akar umbi secara menyeluruh.
Selain itu, Hamzah menambah, Majlis Tertinggi PN juga bersetuju sebulat suara melantik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengarah Pilihan Raya PN bagi mengetuai persediaan jentera pilihan raya parti.
“Sayap Pemuda PN yang dipimpin oleh Ir Khairil Nizam Khirudin juga diminta untuk merancakkan lagi aktiviti di peringkat akar umbi agar dapat merapatkan silaturahim antara ahli-ahli parti.
“Majlis Tertinggi percaya keputusan-keputusan ini bakal memantapkan lagi gerak kerja PN di semua peringkat dan menambah baik koordinasi dalam kalangan parti-parti komponen PN,” katany dalam satu kenyataan, hari ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN