10 NOV: Pemberian tambahan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM500 seharusnya diperluaskan semua petugas barisan hadapan dan bukannya terhad untuk kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja.
Ahli Parlimen GPS Ulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong menyarankan agar bantuan tersebut turut diberi kepada semua agensi barisan hadapan bagi menghargai jasa dan penat lelah mereka dalam menjaga keselamatan negara daripada COVID-19.
Menurut beliau, kerajaan juga diharapkan tidak berat sebelah agar turut mengagihkan penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE) dan cecair pembasmi kuman kepada petugas hadapan selain daripada kakitangan KKM.
“Saya cadangkan agar bantuan RM318 juta untuk menyediakan peralatan PPE dan hand sanitizer tidak dihadkan terdiri daripada kakitangan KKM sahaja tetapi harus meliputi semua agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA dan lain-lain kerana mereka juga merupakan sebahagian barisan hadapan kita.
“Pemberian sagu hati one off sebanyak RM500 merupakan sumbangan yang besar bagi menghargai semua jasa barisan hadapan bagi memerangi wabak ini. Saya harap dapat diperluaskan ke semua barisan hadapan dari agensi-agensi lain,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Wilson berharap agar menara tambahan yang menggunakan set jana kuasa minyak dapat digantikan dengan tenaga solar bagi memastikan capaian internet tidak terputus yang menyebabkan kemarahan rakyat di kawasan pendalaman Sarawak dan Sabah.
“Kerjasama antara syarikat swasta perlu dalam melebarkan internet luar bandar. Ketika pembinaan menara pencawang boleh diselarikan dengan syarikat-syarikat telco bagi menjimatkan masa dalam menggerakan inisatif ini dengan lebih berkesan.
“Apakah perancangan kementerian bagi mengatasi masalah ini kerana nak capai 1G pun kadang-kadang payah di kawasan pendalaman. Saya juga ingin berterima kasih penglibatan syarikat swasta RM150 juta bagi tabung cerdik pemberian komputer riba kepada murid sekolah namun diharapkan agar tiada murid luar bandar yang terlepas dengan perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Wilson turut mengharapkan agar kerajaan dapat mencari pendekatan dengan lebih berkesan agar bantuan yang dilaksanakan kerajaan dapat diberikan kepada rakyat dengan segera dan tiada mereka yang layak menerimanya tertinggal daripada menerima bantuan.
“Rakyat di kawasan pendalaman cukup gembira dengan penambahan RM6.5 bilion berbanding RM5.0 bilion pada tahun 2020 namun harus diperincikan semula agar tidak membebankan rakyat kerana pernah diutarakan saya di dalam dewan ini tentang keresahan rakayat mendapatkan bantuan BPN.
“Ada rakyat yang sukar dapatkan wang sehingga mereka terpaksa bergerak jauh bagi mendapatkan sumber kewangan mereka. Diharap tidak terjadi lagi apabila bantuan BPN baharu nanti disalurkan kepada rakyat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH