10 NOV: Dua mangsa dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah hotel yang terletak di kawasan gunung di Tambun, Perak awal pagi tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian melibatkan seorang lelaki dan seorang perempuan itu pada jam 1.28 pagi.
Kedua-dua mangsa merupakan penginap di hotel berkenaan.
“Kami mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bagi kerja menyelamat sebaik menerima panggilan mengenai kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau memberitahu, sehingga kini, pasukan bomba masih giat menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa manakala maklumat lanjut mengenai mangsa belum dikenal pasti.
Pasukan penyelamat turut menemukan dua pasang kasut sukan dipercayai milik kedua-dua mangsa di lokasi kejadian.