11 NOV: Kerajaan Selangor mengenal pasti 17 premis terdiri daripada bengkel dan kilang tidak mempunyai permit menjalankan operasi di sekitar loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Taman Velox, Rawang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han, berkata 45 lagi premis mempunyai lesen menjalankan operasi di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, majoriti premis yang tiada permit adalah bengkel dan kilang yang tidak memperbaharui lesen.
“Ada juga yang mendaftar lesen perniagaan bengkel tetapi menjalankan operasi perniagaan lain.
“Premis yang dikesan langgar peraturan akan diarah tutup serta-merta. Mereka juga boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 selain hukuman lebih berat mengikut akta alam sekitar.
“Di sini kawasan industri ringan, kilang memang boleh beroperasi kalau ikut perancangan bandar di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan sebuah premis di Jalan Velox 2, dekat sini, hari ini.
Terdahulu, polis menemui 40 tong berisi 40,000 liter bahan buangan berjadual, dalam premis berkenaan yang dikaitkan sebagai punca pencemaran Sungai Selangor.
Mengulas lanjut, Sze Han berkata, pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan berkenaan, bagi memastikan semua premis melupuskan bahan kimia dengan kaedah betul mengikut saranan JAS.
“Sebagai contoh, minyak hitam kenderaan yang digunakan di bengkel. Bila tak guna minyak itu, ia tidak boleh dibuang di longkang.
“Ada proses yang sebetulnya. Kos mahu lupuskan bahan kimia mungkin tinggi tetapi ia tidak boleh menjadi alasan bahan itu dibuang secara sesuka hati,” katanya.