12 NOV: Sehingga 30 Oktober lalu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerima 345 aduan terhadap majikan yang didapati membuat tuntutan palsu sebanyak RM19,986,200 di bawah Program Subsidi Upah (PSU) menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, daripada jumlah 345 kes berkenaan 155 kes membabitkan kes tuntutan palsu dan salah guna PSU dikenal pasti oleh PERKESO untuk tindakan menuntut kembali bayaran daripada majikan berkenaan.
Ahli Parlimen PAS Pendang berkenaan berkata, daripada jumlah itu 190 kes masih dalam proses siasatan dan PERKESO sedang mendapatkan maklumat lanjut dari pengadu.
“Jika majikan didapati melakukan tuntutan palsu atau salah laku syarikat, maka berkenaan boleh dibawah Seksyen 415 dan 471 Kanun Keseksaan.
“PERKESO juga bekerjasama dengan SPRM dan beberapa kes masih dalam siasatan. PERKESO juga akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan kertas siasatan ke atas majikan yang gagal mematuhi syarat ditetapkan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan berapa jumlah majikan yang dikenal pasti membuat tuntutan palsu bagi program subsidi upah dan nilainya.
Terdahulu, Awang menjelaskan sehingga 30 Oktober lalu PERKESO sudah menerima 331,950 permohonan majikan membabitkan 2.7 juta bagi mendapatkan bantuan daripada kerajaan menerusi program PSU.
Malah, beliau berkata, sehingga kini, kerajaan sudah membelanjakan sebanyak RM11.9 bilion bagi membantu majikan terjejas akibat penularan COVID-19 bagi mengekalkan pekerjaaan di bawah program PSU.
“Dalam menangani masalah tuntutan palsu ini, PERKESO bekerjasama dengan bahagian perundangan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi mengenal pasti tindakan undang-undang sesuai yang boleh diambil ke atas majikan yang tidak mematuhi syarat ditetapkan seperti kenyataan media sebelum ini.
“Kerajaan menerusi KSM tidak akan bertolak ansur dengan tuntutan palsu dibuat majikan ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI