12 NOV: Umat Islam yang ingin melakukan umrah untuk kali kedua mesti mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Memetik laporan Saudi Gazette, setiap jemaah umrah luar negara yang tiba ke Arab Saudi perlu memiliki sekurang-kurangnya satu permit umrah yang disahkan.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata, jika jemaah mahu mengulangi ibadah itu untuk kali kedua, mereka perlu berbuat demikian secara berkumpulan dan bukan berseorangan.
Kementerian itu tidak melarang mana-mana jemaah yang mahu mengulangi ibadah umrah, asalkan ia diuruskan oleh syarikat umrah berdaftar.
“Namun, jemaah tidak boleh membuat tempahan secara individu, sebaliknya proses pendaftaran perlu dilakukan menerusi aplikasi Eatmarna,” jelas kementerian berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, permohonan permit umrah daripada jemaah Arab Saudi dalam fasa seterusnya dijangka berkurangan.
Sebahagian besar jemaah rakyat tempatan sudah melakukan umrah dalam fasa pertama dan kedua selepas kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah itu dilaksanakan selepas enam bulan dihentikan akibat COVID-19.