12 NOV: Kerajaan seharusnya memberi penjelasan tentang jumlah rakyat Malaysia yang bakal menerima manfaat daripada peruntukan RM3 bilion untuk membeli vaksin akses global COVID-19 (COVAX).
Ahli Parlimen GPS Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, usaha kerajaan untuk mendapatkan vaksin tersebut dari negara sumber adalah langkah yang baik.
“Bagaimanapun, saya mahu tahu berapa juta orang rakyat Malaysia akan dapat manfaat daripada peruntukan bernilai RM3 bilion berkenaan untuk membeli vaksin COVID-19 berkenaan.
“Jika peruntukan bernilai RM3 bilion berkenaan tidak mencukupi maka saya minta kerajaan menambahnya sehingga cukup,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa yang sama, beliau meminta kerajaan mempertimbangkan peruntukan tambahan RM1 bilion kepada Kementerian Kesihatan untuk pembelian pelbagai peralatan menangani COVID-19 dengan lebih berkesan.
Richard menambah, peruntukan itu boleh digunakan bagi pembelian cecair pembasmi kuman dan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi petugas barisan hadapan. – Oleh HAIKA KHAZI