12 NOV: Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang dalam peringkat akhir meminda Akta Kerja 1955 dengan memasukkan beberapa peruntukan baharu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, pindaan baharu berkenaan merangkumi pelbagai perkara termasuk larangan diskriminasi terhadap pekerja, peningkatan tempoh cuti bersalin, larangan pemberhentian kerja atas sebab kehamilan, waktu kerja fleksi dan cuti paterniti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen PAS Pendang berkata KSM sedang dalam tindakan memperhalusi cadangan pindaan ke atas Akta ini dengan Jabatan Peguam Negara.
“KSM juga sudah pun mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh dengan pihak berkepentingan termasuklah secara atas talian bagi mendapatkan pelbagai pandangan untuk diadaptasi dalam peruntukan sedia ada.
“Sebuah jawatankuasa teknikal bagi pindaan Akta Kerja 1955 turut ditubuhkan di bawah Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan dan telah pun mengadakan mesyuarat untuk meneliti dan memperinci cadangan pindaan ke atas akta ini,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Awang menjawab soalan Ahli Parlimen PH Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan status pindaan Akta Kerja 1955, termasuk pindaan melarang diskriminasi terhadap pekerja, memanjangkan tempoh cuti materniti, melarang pemberhentian kerja atas sebab kehamilan, memperkenalkan waktu kerja fleksi, dan mewujudkan cuti paterniti tujuh hari.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga memberi jaminan bahawa pencari kerja tidak dilindungi di bawah Akta Kerja 1955.
Beliau berkata ini kerana akta berkenaan hanya meliputi pekerja yang telah memasuki atau menjalin hubungan pekerjaan dengan seorang majikan dan satu hubungan pekerjaan secara kontrak perkhidmatan telah diwujudkan. – Oleh HAIKA KHAZI