12 NOV: Kegagalan dan kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor menangani isu kilang haram menyebabkan rakyat di negeri itu menderita apabila pencemaran sungai menyebabkan gangguan air berulang kali.
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, rakyat, pengusaha kecil dan masyarakat sudah perit untuk menanggung beban gangguan air ekoran insiden pencemaran air.
Menurut beliau, kerajaan PH bukan sahaja lambat bertindak dalam isu banjir di daerah Hulu Langat, malah rakyat turut terbeban dengan ketiadaan air ditambah pula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 6 Disember 2020 ini.
“Dewan Pemuda PAS Selangor mendesak kerajaan negeri Selangor mengambil tindakan serius ke atas kilang-kilang haram yang masih beroperasi dengan menghentikan segera operasi dan menutup premis mereka sehingga selesai isu kelulusan permohonan lesen.
“Sampai bila kerajaan negeri Selangor mahu terus ‘bela’ kilang-kilang haram ini sehingga dukacitanya untuk sekian kali dalam tahun ini berlaku pencemaran sungai sehingga menyusahkan rakyat negeri Selangor dalam tempoh PKPB sedang dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, berjuta penduduk di Lembah Klang mengalami gangguan air sekali lagi ekoran pencemaran Sungai Selangor yang dipercayai berpuncai dari kegiatan di sebuah premis tidak berlesen di Taman Velox, Rawang.
Hanafi menambah, Dewan Pemuda PAS Selangor pernah mendesak kerajaan PH Selangor menarik semula lanjutan pemutihan kilang-kilang haram yang diberikan sehingga Disember 2020 kerana tindakan tersebut hanya menguntungkan pemilik kilang.
Namun, katanya, pada masa yang sama akan terus menyusahkan rakyat dengan insiden pencemaran sungai yang kerap berulang kali.
Beliau memberitahu, pada 2019 sahaja terdapat 10 kali gangguan air di Selangor termasuk insiden pencemaran sungai beberapa kali dan ia tidak berhenti sekali sudah hampir berada di penghujung 2020.
“Menteri Besar Selangor perlu meletakkan jawatan dengan kegagalan yang sedia ada tidak tertanggung ini agar diberikan jawatan Menteri Besar ini dijawat oleh seseorang yang layak memikul tanggungjawab demi maslahat umum rakyat dan negeri ini,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN