13 NOV: Kerajaan memberi kelonggaran kepada pemandu di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk membawa dua penumpang dalam kenderaan persendirian dan teksi.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran itu diberikan setelah mengambil kira rayuan orang ramai yang berdepan kesulitan apabila hanya dua orang sahaja yang dibenarkan menaiki satu kenderaan.
Menurut beliau, kebenaran yang berkuat kuasa serta-merta itu turut diberikan kepada kenderaan e-hailing dan teksi.
“Kita mendengar pandangan dan juga permohonan orang ramai untuk tambah penumpang dalam kenderaan persendirian dari rumah yang sama,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, timbul rungutan dalam kalangan orang ramai tentang had dua orang yang dikenakan terhadap kenderaan persendirian, lebih-lebih lagi daripada mereka yang mempunyai anak yang masih kecil atau ibu bapa yang uzur.
Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 379 individu semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).
“Daripada jumlah itu, seramai 370 individu dikompaun dan sembilan orang direman,” jelasnya.
Beliau menambah, antara kesalahan yang dilakukan termasuk tidak memakai pelitup muka (103), tiada penjarakan fizikal (65), gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri (88), aktiviti pusat hiburan (25), merentas daerah atau negeri di kawasan PKPB tanpa kebenaran (42) dan kesalahan lain (56).
Berhubung Op Benteng, Ismail Sabri berkata, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI), seorang tekong dan lapan kenderaan darat semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN