13 NOV: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai program Semarak Cinta Rasul bersama anggota Kabinet yang dilakukan secara sidang video, malam ini.
Program yang bermula kira-kira 7.30 malam itu disertai Muhyiddin bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah dari kediaman Perdana Menteri.
Sementara menteri lain menyertainya dari pejabat atau kediaman masing-masing.
Antara menteri-menteri yang terlibat ialah Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Dalam acara yang berlangsung hampir sejam yang dibimbing oleh Dr Luqman itu, Perdana Menteri serta menteri terlibat mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan Zikir Munajat.
Majlis diakhiri dengan doa kesejahteraan kepada rakyat, barisan hadapan dan negara Malaysia dipimpin oleh Dr Luqman.
Program anjuran Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) itu disiarkan secara langsung dalam laman Facebook rasmi Perdana Menteri dan Jakim.