13 NOV: Mahkamah Majistret Selayang hari ini memerintahkan seorang lelaki direman tujuh hari mulai hari ini hingga 19 November bagi membantu siasatan kes pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor yang menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang, Selasa lalu.
Perintah reman ke atas suspek berusia 58 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Hafizah Rajuni selepas membenarkan permohonan polis untuk mereman suspek selama tujuh hari.
Lelaki itu direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada 8.30 pagi selepas ditahan semalam.